Tempoh sebulan lengkapkan vaksin untuk pekerja pasar raya, restoran

Tempoh sebulan lengkapkan vaksin untuk pekerja pasar raya, restoran

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memberi tempoh sebulan untuk semua pengusaha restoran dan pasar raya untuk mendapatkan vaksin Covid-19 lengkap bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata penguatkuasaan kepada pematuhan SOP akan dilaksanakan sepenuhnya selepas itu.

“Penguatkuasaan SOP bagi restoran (dine-in) dan pasar raya pada peringkat awal adalah lebih berbentuk pendidikan dan peringatan, bukan untuk tujuan mengenakan penalti.

“Kita berharap semua yang terlibat dalam sektor ini akan memperolehi vaksin lengkap dalam masa satu bulan. Penguatkuasaan kepada pematuhan SOP akan dilaksanakan sepenuhnya selepas itu,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Jelasnya, kerajaan sebelum ini menyediakan SOP bagi pelbagai aktiviti yang dibenarkan dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional PPN, termasuk pengoperasian restoran dan pasaraya.

Katanya, SOP menetapkan bahawa operator, pekerja dan pelanggan mestilah mereka yang sudah melengkapkan dua dos vaksin.

“Kita juga sedia maklum bahawa ada di antara mereka dalam sektor ini belum menerima vaksin atau belum lengkap divaksin.

“Adalah dinasihatkan agar mereka yang belum divaksin segera mendapatkan vaksin di mana-mana PPV yang terdekat. Bagi pekerja pasar raya, restoran dan hotel di sekitar Kota Kinabalu, mereka boleh datang ke PPV SICC untuk tujuan vaksinasi,” katanya.

Masidi berkata dengan mengambil kira kedudukan pandemik Covid-19 semasa di Sabah yang mencatatkan kes yang tinggi setiap hari, tindakan sewajarnya perlu diambil untuk mengurangkan penularan.

Katanya, langkah untuk menguatkuasakan SOP baharu di restoran dan pasar raya adalah sebahagian daripada langkah berkenaan.

“Ia bertujuan mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat dalam ruang niaga. Ini akan memberi manfaat dan jaminan kesihatan bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga pelanggan.

“Langkah ini akan mengurangkan risiko penularan virus Covid-19 ketika berada di restoran dan pasar raya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|