Semua KPD diarah pantau PPV di kawasan masing-masing

Semua KPD diarah pantau PPV di kawasan masing-masing

Kota Kinabalu: Setiap Ketua Polis Daerah (KPD) di negeri ini diarahkan supaya memantau pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mengelak berlaku kesesakan seperti berlaku sebelum ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Senior Asisten Komisioner Yusuh Mat Tais berkata, arahan berkenaan dikeluarkan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali bagi mengelak kejadian kesesakan berulang.

Katanya, Datuk Hazani juga memberi arahan supaya pihak Ketua Polis Daerah (KPD) membuat perancangan awal bagi memastikan proses vaksinasi berjalan lancar.

“Setiap Ketua Polis perlu memastikan PPV di daerah mereka dipantau bagi memastikan proses vaksinasi berkenaan terkawal,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bakul makanan Op Bantu di Kota Kinabalu, hari ini.

Yusuh berkata, penambahan anggota di setiap PPV juga sudah dimaklumkan kepada semua KPD.

“Memang ada pertambahan anggota dan arahan dikeluarkan Pesuruhjaya Polis Sabah supaya KPD menentukan kawalan daripada anggota yang mencukupi di kawasan PPV,” katanya.

Dalam laporan sebelum ini, PPV Taman Harmoni, Batu 3, Sandakan dan Dewan Perdana, Jalan Silam, Lahad Datu, sesak selepas diserbu orang ramai yang ingin mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’.

Sementara itu, mengulas berhubung prosedur operasi standard (SOP) terbaharu yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah pada Khamis, Yusuh berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhinya.

“Tidak banyak perubahan SOP yang terdahulu, cuma untuk ‘dine-in’ di restoran dan memasuki pasar raya untuk membeli barang dikehendaki lengkap dua dos. Jadi patuhilah arahan itu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|