Dana tambahan tangani krisis Covid-19

Dana tambahan tangani krisis Covid-19

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan bagi menangani krisis kesihatan Covid-19, menyegerakan usaha menyaring kes Covid-19, pengesanan kontak rapat dan pengasingan mereka yang positif atau test, trace and isolate.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan mengukuhkan sistem kesihatan terutama dalam menambah petugas kesihatan dan meningkatkan kapasiti wad ICU, termasuk penyumber luaran pesakit dari hospital awam ke hospital swasta, selaras dengan pendekatan ‘Whole of Nation’.

“Dari aspek bantuan kepada rakyat pula, kerajaan komited untuk membantu golongan terjejas. Bantuan tunai sebanyak RM10 bilion akan disalurkan kepada 11 juta penerima dalam separuh kedua tahun 2021.

“Bantuan tunai bagi mereka yang memerlukannya akan diteruskan pada tahun 2022, bukan sahaja untuk golongan B40 tetapi juga meliputi bantuan bersasar kepada golongan miskin tegar, miskin bandar dan M40 yang kehilangan pendapatan,” katanya dalam ucapan khas beliau petang ini.

Katanya, bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi, dana tambahan Kumpulan Wang Covid-19 akan digunakan bagi membantu insentif pengambilan pekerja serta meningkatkan pembiayaan kepada PKS terutama dalam meraih peluang ekoran pembukaan semula ekonomi selaras pelaksanaan PPN.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|