Ahli Parlimen pembangkang terima peruntukan tahunan sama rata

Ahli Parlimen pembangkang terima peruntukan tahunan sama rata

Kuala Lumpur: Perdana Menteri berkata semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan sama rata tanpa mengira parti politik.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia adalah lanjutan daripada pemberian peruntukan RM300,000 kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa mengira parti politik bagi pembelian bakul makanan untuk diagih kepada rakyat yang memerlukan, baru-baru ini.

“Atas semangat kerjasama bi-partisan di Parlimen dan keperluan untuk memperluaskan bantuan kepada rakyat dalam situasi pandemik, semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik.

“Bagi Ahli Parlimen pembangkang, peruntukan untuk tahun ini akan dibuat secara prorata mengikut jumlah bulan yang berbaki,” katanya dalam ucapan khas petang ini.

Sementara itu, beliau berkata bagi mendokong prinsip ‘Whole of Government’ dan ‘Whole of Society’ dalam memerangi pandemik Covid-19, Menteri Kewangan mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti pembangkang untuk mendapatkan input dan cadangan bagi menambah baik Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sehubungan itu, katanya Kementerian Kewangan telah meneliti dan bersetuju untuk menerima beberapa cadangan dan input yang diutarakan.

“Sejajar dengan cadangan yang telah diterima, kerajaan akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana Covid-19 sebanyak RM45 bilion daripada RM65 bilion seperti yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu kepada RM110 bilion.

“Peningkatan ini akan membantu memenuhi keperluan tambahan dalam mengatasi krisis Covid-19 dari segi mengukuhkan sistem kesihatan, menambah baik bantuan kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|