Jawatan PM dihadkan dua penggal

Jawatan PM dihadkan dua penggal

Kota Kinabalu: Perdana Menteri berkata kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan juga akan membentangkan RUU Anti-Lompat Parti di Parlimen jika kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.

“Jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga boleh ditambah untuk memastikan semua Ahli Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang yang lebih berkesan menerusi penglibatan mereka dalam jawatankuasa ini.

“Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50 peratus Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen kerajaan dan 50 peratus lagi oleh Ahli Parlimen pembangkang,” katanya dalam ucapan khas petang ini.

Sejajar dengan jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang yang lebih efektif, katanya kerajaan akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan yang berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|