Bantuan tiba tepat pada waktunya

Bantuan tiba tepat pada waktunya

Kota Kinabalu: Harapan sebuah keluarga di Kampung Pulau Penampang, di sini, yang kehabisan beras terjawab apabila menerima bantuan bakul makanan dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Suri rumah, Rubiah Abd Kalson, 45, berkata, dia langsung tidak menyangka pihak polis akan tampil untuk menyerahkan bantuan berkenaan.

Katanya, mereka sekeluarga sememangnya serba kekurangan selepas pendapatan terjejas sejak kebelakangan ini.

“Suami saya sudah tidak bekerja ekoran penyakit kronik yang dihidapi sehinggakan kami sering terputus bekalan makanan.

“Tapi hari ini, kami kehabisan beras di rumah dan tidak sangka polis pula datang bawa bakul makanan,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penerima Nicholas Labi, 50, berkata, dia amat lega dengan penerimaan bantuan bakul makanan menerusi Op Bantu polis.

Katanya, sebelum ini dia bekerja sebagai pemandu lori namun kehilangan kerja sejak tiga bulan lalu.

“Sejak itu, saya sudah tiada pendapatan tetap dan terpaksa bergantung pada seorang anak yang bekerja dan dia saja yang menyara kami lapan sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Senior Asisten Komisioner Yusuh Mat Tais berkata, sebanyak 20 bakul makanan disampaikan menerusi Op Bantu IPD Kota Kinabalu.

Katanya, sumbangan yang disampaikan adalah hasil tapisan yang dilakukan pegawai polis bagi memastikan mereka yang betul-betul memerlukan dapat menerima bantuan berkenaan.

“Sukar dinafikan, ada keluarga yang kehilangan pekerjaan sejak beberapa bulan lalu sehingga memerlukan bantuan segera.

“Sebab itu kita wujudkan kumpulan WhatsApp, bila ada yang menaikkan bendera putih dan ada yang menghubungi kita, kita akan membuat tapisan sebelum bantuan diberikan,” katanya.

Hadir sama dalam program itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|