PN capai kata sepakat runding lulus undi percaya bersama parti lain

PN capai kata sepakat runding lulus undi percaya bersama parti lain

Kuala Lumpur: Perdana Menteri berkata beliau bersama jemaah Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) mencapai kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti di luar PN bagi meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sudah berunding dengan rakan dalam Kabinet dan pimpinan parti dalam PN untuk membuat keputusan itu demi rakyat dan negara.

“Ini akan membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

“Usul undi percaya ini hanya boleh diluluskan dengan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat. Kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya ini diluluskan adalah sebuah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif.

“Stabil dengan dokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta inklusif dengan pengiktirafan kepada parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh.

“Kestabilan politik adalah amat penting dalam kita memerangi pandemik Covid-19 dan memulihkan negara. Kita harus akur dan sedar, proses pemulihan negara ini bukan satu usaha perkara yang mudah.

“Oleh itu, kita memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak untuk memulih dan mengembalikan negara yang kita cintai ini kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat,” katanya dalam ucapan khas beliau petang ini.

Jelas Muhyiddin, rakyat akan menangggung sengsara dan beban jika politik negara gagal distabilkan untuk membantu proses pemulihan akibat pandemik Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|