Kesesakan PPV Dewan Masyarakat Tawau membimbangkan

Kesesakan PPV Dewan Masyarakat Tawau membimbangkan

Tawau: Tidak menepati waktu janji temu adalah antara punca kesesakan yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Tawau.

Tinjauan di pusat berkenaan juga turut mendapati wujud sikap segelintir penerima vaksin yang tidak menuruti prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan sosial.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kemungkinan akan mencetuskan kluster terbaru sekiranya tidak dipantau pihak berkuasa.

Salah seorang penerima vaksin, Effarida Nasrun,43, berkata, dia terpaksa datang ke pusat berkenaan seawal jam 7.30 pagi.

Namun katanya, tanpa disangka kesesakan di pusat berkenaan membuatkan dia hanya dapat memasuki PPV berkenaan pada jam 1 petang.

“Kesesakan yang berlaku di sini amat membimbangkan kerana boleh menyebabkan jangkitan Covid-19.

“Jadualnya juga berubah-ubah, saya terpaksa menunggu sehingga jam 1 petang sebelum dibenarkan masuk ke dalam,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang lagi, Yakobus Johanis, 45, yang menemani ibunya Karmini Sukar, 63, untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di pusat berkenaan berkata,犀利士 dia berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kelancaran proses vaksinasi berkenaan.

Katanya, kesesakan yang berlaku itu boleh mendatangkan bahaya terutamanya kepada warga emas.

“Orang ramai sekarang berebut-rebut untuk mendapatkan suntikan vaksin sampai sanggup berjemur di bawah panas terik matahari. Sepatutnya pihak berkuasa menyediakan khemah untuk berteduh,” katanya.

Menurutnya, ia juga akan dapat menyusun atur orang ramai supaya tidak bersesak di kawasan PPV ini.

Sementara itu, Penyelia PPV Dewan Masyarakat Tawau, Jamli Dahlan berkata, kesesakan yang berlaku sejak beberpa hari lalu disebabkan sikap penduduk Tawau yang tidak mematuhi waktu mengikut temujanji Mysejahtera.

Katanya, kebanyakan masyarakat di sini datang tidak menepati waktu jadual vaksin seperti yang diberikan melalui Mysejahtera.

“Sebagai contoh, apabila jadual vaksin ditetapkan pada jam 8 pagi, ada yang datang pada jam 12 tengah hari dan ada juga datang pada jam 2 petang.

“Tambahan lagi apabila timbul syarat yang memerlukan dua dos suntikan vaksin untuk masuk ‘dine in’, masuk premis kerajaan dan rumah ibadah, itu juga menambahkan lagi kesesakan yang berlaku secara mendadak,”Katanya.

Jamli berkata, bagi mengatasi keadaan itu pihaknya sudah meminta bantuan polis untuk memastikan keadaan terkawal semula agar penjarakan sosial sentiasa dipatuhi.

Untuk rekod PPV Dewan Masyarakat Tawau mencatatkan 2,134 penerima vaksin Dos Pertama pada Rabu, manakala 2,013 penerima vaksin Dos kedua pada Khamis yang diberikan secara berasingan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|