Pengedar dadah warga asing ditahan

Pengedar dadah warga asing ditahan

Kinabatangan: Seorang lelaki warga Filipina ditahan bersama puluhan paket dadah dalam operasi yang dijalankan di sebuah ladang sawit di kawasan Tongod, di sini, semalam.

Operasi jam 3.30 pagi itu yang diarahkan Pegawai Pemerintah Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan, Superintendan Abd Halim Ahmad itu menemui 31 paket plastik berisi dadah jenis syabu.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, operasi yang dijalankan atas maklumat awam membuat pemantauan di sebuah pondok di ladang berkenaan.

Katanya, suspek yang berusia 42 tahun tiba-tiba muncul di kawasan berkenan dan terus ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan, suspek didapati memiliki tatu di tangan berbentuk huruf A D yang belum diketahui Identiti sebenar huruf berkenaan.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui sebuah beg kecil berisi satu paket plastik lutsinar saiz sederhana dan 30 paket plastik lutsinar saiz kecil yang mengandungi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, pemeriksaan badan suspek menemui tangkal tali pinggang berwarna hitam dan berbuah kelongsong peluru yang digunakan sebagai alat kebal diri melalui akuan suspek.

Katanya, suspek memiliki pasport tamat tempoh sehingga 20 Oktober 2016 yang tidak memiliki cop sah pintu masuk negara Malaysia.

“Suspek terus ditahan untuk siasatan selanjutnya mengikut Seksyen 39 (A) (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1963 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|