Penahanan 3 lelaki, selesaikan 7 kes pecah rumah

Penahanan 3 lelaki, selesaikan 7 kes pecah rumah

Beaufort: Penahanan tiga lelaki termasuk dua beradik yang membabitkan kes curi mesin penapis air membantu menyelesaikan tujuh kes jenayah lampau termasuk pecah rumah dan curi sarang burung di daerah ini.

Ketiga-tiga penjenayah berusia 25 hingga 42 tahun itu berjaya ditahan dalam serbuan di dua buah rumah di Kampung Melampai, Kuala Penyu, di sini, pada 3 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, kegiatan jenayah terbaru kumpulan terbabit berlaku pada 16 Mei lalu membabitkan kecurian mesin penapis air di pekan Kuala Penyu.

Bagaimanapun katanya, identiti ketiga-tiga suspek berjaya dikesan selepas pihaknya menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.

“Polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort berjaya menjejaki kumpulan penjenayah ini dan menahan mereka bersama sebuah kenderaan Isuzu Pick Up.

“Hasil siasatan, ketiga-tiga suspek mengaku terbabit dalam tujuh lagi kes yang sedang disiasat membabitkan kes pecah rumah, tabika kemas dan rumah sarang burung sekitar daerah ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, suspek juga mengaku melakukan kegiatan jenayah itu bersama beberapa lagi suspek yang masih bebas.

“Setakat ini, sebanyak tujuh kes pecah rumah di kawasan Kuala Penyu berjaya diselesaikan hasil dari tangkapan kumpulan ini.

“Ketiga-tiga suspek akan direman bagi membantu siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|