Kota Kinabalu: Impak Covid-19 yang sememangnya membebankan ramai masyarakat membuatkan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil inisiatif mewujudkan ‘Rak Kongsi Rezeki’ bagi membantu mereka memerlukan.
Usaha dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) itu diletakkan di tempat terbuka dengan menyediakan pelbagai bantuan berbentuk makanan untuk keluarga terjejas.
ADUN dilantik, Dr Aliakbar Gulasan berkata, usaha yang dijalankan bersama Yayasan Amal Malaysia dan Malaysian Rubber Council akan memberi kesan baik kepada mereka yang memerlukan.
Katanya, rak ini diletakkan di tempat terbuka untuk membolehkan sesiapa saja boleh meletakkan sumbangan atau mengambil barang yang diperlukan.
“Rak ini kita juga letakkan di lapan daerah bagi membantu golongan yang memerlukan atau mereka yang ingin menyumbang serta berkongsi rezeki.
“Kita meletakkan kepercayaan kepada masyarakat supaya rak ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak dan bagi yang memerlukan, diharap ambil sekadar yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Rak Kongsi Rezeki di sebuah premis di Kingfisher, Likas, hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Karimah Bijirul, 64, berkata, dia terpaksa mengambil beberapa barang keperluan untuk kegunaan mereka keluarga selepas terputus bekalan makanan.
Katanya, dia sudah tidak bekerja sejak beberapa bulan lalu selepas syarikat tidak lagi memerlukan tukang bersih pejabat.
“Suami pula bekerja sebagai nelayan dan pendapatan hanya bergantung pada hasil tangkapan, kalau tiada tangkapan, tiadalah makanan kami.
“Jadi saya datang ke sini untuk mengambil beberapa barang keperluan seperti beras, minyak, telur dan gula di rak ini untuk kegunaan kami seisi keluarga,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi penduduk, Ijung Guras, 73, berkata, rak berisi bantuan makanan itu dapat membantu golongan yang terjejas termasuk warga emas seperti mereka.
“Saya yang mempunyai masalah penglihatan tidak mampu bekerja. Jadi dengan adanya bantuan seperti ini sudah pasti membantu kami yang memerlukan,” katanya.
– Deasoka