Kluster dari Indonesia di Sabah?

Kluster dari Indonesia di Sabah?

Kota Kinabalu: Kluster terbaru yang dikesan di Sabah hari ini disyaki dibawa masuk dari Indonesia.

Jurucakap Covid-19 bagi negeri ini, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kluster yang dikenali sebagai Kluster Sawit Segama, Lahad Datu merupakan kluster di tempat kerja.

“Kes indeks, wanita, 48 tahun, warganegara Indonesia dikesan positif pada 6 Julai hasil saringan masuk kerja di sebuah klinik swasta.

“Kes indeks yang masuk ke Sabah pada 25 Jun bersama dua orang cucu, diarahkan menjalani kuarantin di Ladang Sabah Mas (Division Segama) sebelum dibenarkan bekerja.

“Dia yang mula bergejala batuk dan sakit tekak sejak 3 Julai kemudian mengambil saringan PCR bersama beberapa ahli keluarga lain yang juga sedang dikuarantin di ladang yang sama,” katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Pengesanan secara aktif dan saringan yang dijalankan terhadap 64 kontak susualan penemuan kes positif itu mendapati 14 lagi individu disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, kesemua kes positif dalam kluster ini telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di PKRC Lahad Datu, manakala semua kontak rapat juga telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di pusat kuarantin PPR Sri Sepagaya, Lahad Datu.

Jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini adalah sebanyak 15 kes.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata sebanyak 323 kes COVID-19 baharu telah direkodkan hari ini. Tiga daerah yang mencatatkan pertambahan kes tertinggi ialah Kota Kinabalu (78 kes), Pitas (52 kes) dan Kudat (36 kes).

“Saringan kesihatan khususnya saringan bersasar di semua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan mengakibatkan kenaikan jumlah kes positif negeri ini dalam masa terdekat.

“Namun strategi ini membolehkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengenal pasti dan mengurus punca jangkitan dengan lebih efektif,” katanya.

Jelas beliau, strategi saringan kesihatan yang meluas ini merupakan langkah strategik dalam mengoptimumkan program vaksinasi masyarakat secara besar-besaran, khususnya dalam bulan Julai dan Ogos ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|