99.7 peratus TDM sudah menerima vaksin

99.7 peratus TDM sudah menerima vaksin

Kota Kinabalu: Seramai 99.7 peratus Tentera Darat Malaysia (TDM) di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin dalam Program Imunisasi Covid -19 Kebangsaan (PICK).

Ia menjadikan Sabah antara negeri yang mencatatkan angka tertinggi menjayakan dalam kalangan pasukan berkenaan di seluruh negara.

Panglima Divisyen Kelima Infantri Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid berkata, berdasarkan rekod, hanya 14 daripada warga TDM yang masih belum mengambil vaksin disebabkan beberapa sebab-sebab tertentu.

Katanya, mereka yang belum menerima vaksin disebabkan alahan, ibu mengandung dan menyusukan anak serta anggota yang menghidap penyakit yang tidak membolehkan mereka menerima suntikan vaksin.

“Proses vaksinasi ini akan diteruskan sebelum diperluaskan kepada anggota awam yang bertugas dengan TDM.

“Setakat ini, kira-kira 300 Askar Wataniah yang bertugas bersama agensi keselamatan lain juga sudah divaksin berikutan polisi TDM yang mewajibkan anggota yang sudah menerima dua suntikan lengkap untuk bertugas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menerima sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) yang disampaikan Presiden Persatuan Ahli Bersekutu dan Kehormat Jabatan Sukarelawan (RELA) Malaysia Negeri Sabah Datuk Seri Wong Chong Fah di perkarangan Markas Divisyen Kelima Infantri, di sini.

Mohd Halim berkata, pemberian vaksin dalam kalangan ahli keluarga TDM juga kini sudah mencapai 45 peratus.

“Pemberian vaksin kepada pasukan tentera yang menjadi tulang belakang negara adalah penting berikutan terpaksa berada di barisan hadapan sekiranya berlaku sebarang ancaman pada negara.

“Oleh itu, kita berusaha sepenuhnya untuk mengelakkan jangkitan dalam kalangan tentera,” katanya.

Sementara itu, Mohd Halim berkata, pihaknya akan melaksanakan pemberian suntikan dos kedua kepada masyarakat di Long Pasia bagi Program Jiwa Murni (PJM) Army Combat Medic Vaccination Initiative (ACMVI).

Katanya, program berkenaan akan dimulakan pada minggu depan menggunakan pendekatan menawarkan pemberian suntikan dos pertama kepada penduduk yang belum menerima vaksin selain pergi ke kawasan terpencil untuk penduduk yang mempunyai masalah ke kawasan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Untuk perancangan selepas ini, kita juga akan berada di Kampung Inarad Tongod sebelum bergerak ke Semporna, Kinabatangan sebagai gerak gempur.

“Ia berikutan kadar peratusan penerimaan vaksin di kawasan berkenaan yang perlu ditingkatkan seterusnya memenuhi hasrat mencapai imuniti kelompok melebihi ambang 90 peratus,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|