Kurangkan polemik politik: Dr Aliakbar

Kurangkan polemik politik: Dr Aliakbar

Kota Kinabalu: Semua pihak diminta terus mengurangkan polemik politik dalam memberikan fokus membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Demikian saranan Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan (gambar) yang meminta perkara itu dikurangkan bagi menjaga kebajikan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, polemik politik hanya menyebabkan masyarakat semakin muak sementara masih ramai yang perlu dibantu kerana terjejas ekoran pandemik.

“Tidak kira di Sabah atau Semenanjung, suasana kita hadapi adalah sama dan sehubungan itu yang perlu main peranan adalah orang politik.

“Jangan ambil kesempatan dengan keadaan sekarang sama ada kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Dr Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik itu berkata demikian selepas melancarkan Rak Kongsi Rezeki di Kingfisher Likas, Kota Kinabalu.

Beliau terdahulu mengeluarkan kenyataan itu bagi merujuk keadaan semasa politik negara yang semakin dihimpit dengan krisis berpanjangan sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, pihaknya memuji kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menetapkan komitmennya terus mempertahankan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Jelasnya lagi, UMNO Sabah amat dipuji kerana melihat semangat setiakawan yang kuat dalam mempertahankan mandat rakyat yang diberikan sejak mengambil alih pentadbiran selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|