Dua penjenayah rempuh kenderaan polis ditahan

Dua penjenayah rempuh kenderaan polis ditahan

Papar: Dua penjenayah yang meloloskan diri dengan merempuh kenderaan polis ketika cuba ditahan, Rabu lalu, berjaya diberkas pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, semalam.

Kedua-dua suspek berusia 20 dan 35 tahun terbabit ditahan pada jam 4.40 petang di sebuah stesen minyak di Jalan Kimanis – Keningau, di sini.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, kedua-dua suspek berjaya dikesan di lokasi berkenaan sebelum gerakan menangkap penjenayah berkenaan dijalankan.

Dua suspek yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Kimanis – Keningau, Papar.

Katanya, ketika ditahan, anggota polis telah membuat rampsan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipercayai digunakan suspek merempuh kenderaan polis pada masa kejadian dan berjaya meloloskan diri.

Menurutnya, polis juga bertindak merampas telefon pintar milik kedua-dua suspek membantu siasatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati, kedua-dua suspek mengaku terbabit sekurang – kurangnya 10 kes kecurian kabel telekomunikasi membabitkan nilai kira-kira RM100,000.

“Kedua-dua suspek bersama barang rampasan kemudiannya dibawa ke IPD Papar untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui, di pejabatnya, hari ini.

Batholomew berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis metaphemanine dan amphetamine selain masing-masing mempunyai empat kes jenayah lampau.

Katanya, kedua-dua suspek akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan cubaan membunuh.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat dan penduduk di sekitar dearah ini di atas maklumat dan kerjasama sehingga tertangkap semua suspek yang dikehendaki ini.

Dalam kejadian Rabu lalu, kedua-dua suspek yang dikesan aktif melakukan kegiatan curi kabel sejak tahun lalu cuba ditahan polis selepas penahanan seorang lagi rakan mereka berusia 19 tahun.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, kedua-dua suspek bertindak agresif menyerang polis dengan merempuh kenderaan pihak berkuasa sebelum melarikan diri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|