Pemandu Airport Limo mengamuk, meninggal dunia

Pemandu Airport Limo mengamuk, meninggal dunia

Kota Kinabalu: Pemandu Airport Limo yang mengamuk sehingga nekad merempuh tiga kenderaan dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, 19 Julai lalu, dilaporkan meninggal dunia.

Pemandu terbabit Ng Chin Seng, 65, dilaporkan meninggal dunia, Isnin lalu, akibat kegagalan buah pinggang dan beberapa penyakit lain.

Pengerusi Persatuan Limousin dan Teksi KKIA, Shamsuddin Mohd Shah berkata, berita pemergian mendiang Ng dimaklumkan rakan pemandu lain.

Katanya, mendiang Ng mempunyai kesukaran hidup dan stress mental serta beberapa isu kesihatan lain termasuk terpaksa menjalani rawatan dialisis akibat masalah buah pinggang.

“Kita sememangnya cuba membantu mendiang sebaik mungkin yang termampu. Beliau tidak mempunyai rumah tetap selepas berpisah dengan keluarganya.

“Difahamkan, beliau sering bermalam merata tempat termasuk di dalam kenderaannya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Shamsuddin berkata, beberapa ahli persatuan memaklumkan akan membuat penghormatan terakhir kepada mendiang sebelum upacara pengkebumian Khamis ini.

Sementara itu, ditanya mengenai insiden 19 Julai lalu, Shamsuddin berkata, kejadian hanya disebabkan salah faham.

Malah katanya, pemilik kenderaan yang dirempuh mendiang juga tidak mengambil tindakan terhadapnya atau menuntut sebarang ganti rugi.

“Kita tahu masalah dihadapi mendiang. Kita semua juga terkesan dengan Pandemik Covid-19 yang menyebabkan banyak perniagaan termasuk perkhidmatan kami turut terjejas,” katanya.

Sementara itu, Shamsuddin berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan kesusahan dan kesukaran yang dihadapi pemandu Limosin dan Teksi di KKIA.

Katanya, masalah kekurangan peluang pendapatan ini sudah berlanjutan sejak setahun lalu ekoran penularan pandemik Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|