Guru disaran budayakan kajian tindakan tingkatkan kualiti PdPR

Guru disaran budayakan kajian tindakan tingkatkan kualiti PdPR

Labuan: Guru disaran membudayakan kajian tindakan sebagai pendekatan terbaik bagi meningkatkan kualiti Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang dilaksanakan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Kajian tindakan penting bagi melahirkan kreativiti dan inovasi ke arah menambah baik pelaksanaan PdPR dengan sasaran untuk menarik minat dan perhatian murid serta pelajar mengikuti kelas dikendalikan setiap guru.

Bagi memastikan inspirasi itu tercapai, Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) mengambil inisiatif melaksanakan sesi pembentangan Kajian Tindakan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.

Program yang dibuat sepenuhnya secara dalam talian itu dilaksanakan di bawah program Pembudayaan Kajian Tindakan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Penyelaras program, Zailiana Zainol, berkata kajian yang dilaksanakan guru di Labuan itu menumpukan kepada usaha menghasilkan pendekatan atau kaedah terbaik pelaksanaan PdPR khususnya sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Seramai 12 guru membuat pembentangan kertas kajian tindakan masing-masing pada kali ini. Mereka dilatih oleh lima orang jurulatih yang diketuai oleh Pegawai SISC+ di Sektor Pembelajaran, Dr Hyginius Lester Lee,” katanya.

Selain itu, barisan jurulatih utama yang lain terdiri daripada Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Patau-Patau, Dalilah Desa; guru SMK Mutiara, Junaidah Baharuddin; guru SK St Anne, Ciptho Wiryawan @ Mohd Ikhwani dan guru SK Pekan II, Siti Farah Idayu Madi.

Zailiana yang juga Penolong Pengarah di Sektor Perancangan, JPWPL, berkata pembentangan hasil kajian dinilai oleh enam panel yang dilantik untuk menentukan kertas kajian terbaik yang akan dipilih bagi mewakili Labuan dalam pembentangan di Persidangan Penyelidikan Pendidikan Peringkat Kebangsaan Kali ke-16 yang dijangka diadakan pada Oktober depan.

Jelasnya, sebanyak lima sekolah rendah terbabit dalam tujuh pembentangan kertas kajian pada kali ini iaitu Sk St Anne, SK Sungai Bedaun (dua kertas), SK Pekan 2 (dua kertas), SK Rancha-Rancha dan SK Pantai, manakala empat pembentangan lagi daripada sekolah menengah iaitu SMK Mutiara (3 kertas) dan satu kertas dari SMK St Anthony.

Dalam ucapan perasmiannya, Pengarah Pendidikan Labuan, Yusup Mohamad menekankan kepentingan kreativiti dan inovasi yang dijelmakan dalam bentuk penulisan kajian tindakan untuk dikongsi bersama.

“Dalam era pandemik ini kita dapat lihat guru-guru berusaha mengoptimumkan penggunaan kemahiran ICT. Situasi pengajaran dan pembelajaran menjadi semakin berbeza, mencabar dan mengekang amalan-amalan lazim sebelum ini.

“Justeru, kajian tindakan amatlah relevan dan sangat rapat dengan guru dalam meningkatkan kualiti PdPR dalam tempoh ini,” katanya.

Sesi pembentangan turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Pembudayaan Penyelidikan, Selvarajah a/l Manikam bersama Ketua Penolong Pengarah BPPDP, KPM, Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan JPWPL, Mohd Nizam Yasim dalam ucapan penutup mengucapkan tahniah kepada pihak urusetia dan semua pembentang yang berjaya menyiapkan dan membentangkan penulisan kajian tindakan masing-masing.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|