Panik lihat anggota PGA, lima lelaki mengaku hisap syabu

Panik lihat anggota PGA, lima lelaki mengaku hisap syabu

Kudat: Panik selepas diperiksa Pasukan Gerakan Am (PGA), lima lelaki ditahan selepas mengaku menagih dadah dalam operasi di Kampung Pulau Tigabu, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 8.30 pagi itu, kelima-lima lelaki berusia 21 hingga 43 tahun yang bekerja sebagai nelayan itu diperiksa selepas ditemui sedang berkumpul di kampung berkenaan.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, ketika rondaan dijalankan, pasukan operasi terserempak dengan sekumpulan lima orang lelaki yang sedang duduk berkumpul.

Katanya, pasukan operasi terus meminta kelima-lima suspek untuk mengemukakan butiran diri masing-masing.

“Bagaimanapun, hasil temubual yang dijalankan, lima lelaki terbabit mengaku ada menghisap dadah jenis syabu dalam masa terdekat.

“Pasukan operasi terus menahan kelima-lima suspek dan dihantar ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati semua suspek positif dadah jenis metaphatamine.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|