Terlalu hormat JDT punca Sabah tewas – Ong Kim Swee

Terlalu hormat JDT punca Sabah tewas – Ong Kim Swee

Kota Kinabalu: “Terlalu menghormati pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) punca Sabah FC mudah dibolosi dua gol dalam tempoh 15 minit pertama perlawanan.”

Demikian tegas pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee selepas pasukan bimbingannya tewas 2-0 di tangan JDT pada aksi Piala Malaysia di Stadium Likas, malam tadi.

Menurutnya, permainan pasukan Sabah FC kemudiannya berjaya diperkemaskan sehingga mampu mengekang pasukan lawan daripada terus menambah jaringan.

“Menerusi beberapa peluang yang berjaya dihasilkan, ia menampakkan pasukan Sabah FC dapat memantapkan gerakan terutamanya daripada pemain Thanabalan Nadarajah dan Amri Yahyah.

“Mereka berjaya mengucar-kacirkan pasukan lawan walaupun kita sedia maklum barisan empat pemain pertahanan JDT cukup berpengalaman dan mewakili negara,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan malam tadi.

Kim Swee berkata, beliau akan cuba memantapkan lagi pasukan Sabah FC untuk tiga baki perlawanan Piala Malaysia akan datang.

Dalam perlawanan malam tadi, pasukan kendalian Benjamin Mora membuka tirai jaringan pada minit keempat menerusi penyerang JDT, Hazwan Bakri.

Harimau Selatan kemudiannya sekali lagi menambah jaringan hasil sepakan Gonzalo Cabrera selepas berjaya melepasi dua pemain Sabah FC pada minit ke-12.

Dalam pada itu, Sabah FC berjaya menghasilkan peluang menjaringkan gol pada minit ke-15 namun sepakan Thanabalan Nadarajah hanya menerjah palang tiang gol pasukan JDT.

Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah dan JDT masing-masing memperkemaskan permainan untuk mencipta peluang namun kedua-duanya gagal menjaringkan gol dan keputusan kekal memihak JDT hingga tamat perlawanan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|