Kota Kinabalu: Kekurangan lori kompaktor dikenalpasti menjadi punca longgokan sisa pepejal di kawasan komersial dan perumahan sekitar bandar raya ini.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, pihaknya mengambil maklum sejak kebelakangan ini kerja-kerja kutipan sampah berdepan masalah kelewatan.
Katanya, kelewatan itu mengakibatkan longgokan sampah sarap berlaku terutamanya di pusat-pusat pembuangan sampah.
“Sehubungan itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang berusaha mengatasi masalah itu dengan menggunakan segala sumber jentera yang ada.
“Ia termasuk lori ‘open truck’, ‘mini compactor’ dan penggunaan ‘roll on roll off’ (RORO) bagi menggantikan tong sampah di beberapa lokasi dikenalpasti,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Selain itu, Noorliza berkata, bagi memastikan perkhidmatan pengutipan sampah tidak terus terjejas, perolehan kompaktor baru sedang dalam proses pendaftaran.
“Pihak pengurusan DBKK mengambil perhatian serius atas kelewatan sampah di seluruh bandaraya dan memohon maaf atas segala kesulitan dihadapi.
“DBKK akan berusaha untuk memulihkan perkhidmatan seperti sediakala dalam masa terdekat,” tegasnya
-Deasoka