Operasi pencarian warga emas ditangguhkan

Operasi pencarian warga emas ditangguhkan

Kota Belud: Operasi pencarian hari kedua warga emas yang dikhuatiri hilang selepas keluar daripada rumahnya di Kampung Kalibungan Rosok, di sini, hari ini, masih gagal menemui mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, operasi pencarian hari ini dijalankan dengan kekuatan seramai 116 individu membabitkan 49 anggota dan pegawai pihak berkuasa.

Katanya, operasi turut dibantu seramai 59 penduduk kampung dan lapan ahli persatuan kenderaan pacuan empat roda.

“Operasi dimulakan pada jam 8 pagi tadi membabitkan kawasan pencarian yang terbahagi kepada empat zon berkeluasan
1.18 kilometer persegi.

“Bagaimanapun, sehingga tengah hari tadi, operasi masih gagal menemui warga emas terbabit sebelum ia disambung di lokasi kedua membabitkan keluasan 1.58 kilometer persegi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sahimi berkata, operasi mencari dan menyelamat dibuat secara ‘fan searching’ iaitu pencarian di sekitar lokasi kejadian.

Katanya, operasi turut dilakukan dengan pencarian menyusuri sepanjang sungai dan anak sungai sekitar kawasan berkenaan.

“Pencarian mangsa pada hari ini membabitkan keluasan keseluruhan 2.76 kilometer persegi. Ia turut dibantu Unit K9 Bomba Tuaran.

“Operasi hari ini gagal menemui mangsa dan ia terpaksa ditangguhkan pada jam 6 petang atas faktor keselamatan berikutan cuaca semakin gelap dan hujan,” katanya.

Sahimi berkata, operasi akan disambung esok pada jam 8 pagi membabitkan kekuatan yang sama.

Dalam kejadian kelmarin, wanita warga emas yang dikenali sebagai Tianun Padis, 86, dikhuatiri hilang selepas memberi makan kepada ternakan ayam kira-kira 500 meter dari kediamannya.

Susulan itu, anak mangsa bersama penduduk kampung melakukan pencarian di kawasan berhampiran namun sehingga gagal menemui mangsa sebelum laporan polis dibuat bagi membantu mencari mangsa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|