Sambutan Hari Malaysia secara maya

Sambutan Hari Malaysia secara maya

Labuan: Warga sekolah tidak ketinggalan untuk sama-sama menyemarakkan sambutan Hari Malaysia walaupun hanya secara maya berikutan penularan pandemik Covid-19.

Bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantai, Labuan, di sini, sambutan Ambang Hari Malaysia 2021 secara dalam talian yang diadakan baru-baru ini tetap meriah.

Malah, pelbagai aktiviti diadakan bagi melengkapkan sambutan yang bertujuan menanam semangat patriotik warga sekolah, khususnya pelajar terhadap negara.

Pengetuanya, Norazita Md Nor @ Shamsuri, berkata sebanyak tujuh aktiviti diadakan membabitkan penyertaan pelajar, guru dan anggota kakitangan perkhidmatan (AKP) sekolah.

“Aktiviti yang diadakan ialah kuiz dalam talian, mereka cipta kad ucapan, nyanyian lagu patriotik dan melukis poster kemerdekaan yang terbuka untuk penyertaan pelajar.

“Selain itu, turut diadakan ialah pertandingan swafoto kemerdekaan, busana kemerdekaan dan deklamasi sajak terbuka yang membabitkan penyertaan pelajar serta guru.

“Persembahan deklamasi sajak oleh johan pertandingan bagi setiap kategori dan nyanyian lagu berunsur patriotik pemenang pertandingan juga diadakan selain nyanyian lagu patriotik beramai-ramai secara dalam talian,” katanya, di sini.

Katanya, majlis itu tetap bermakna dalam usaha meningkatkan kesedaran warga sekolah mengenai erti kemerdekaan.

“Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kita seharusnya mengambil peluang untuk sama-sama menghayati erti sebenar kemerdekaan bagi menaikkan lagi semangat patriotisme dan cinta kepada tanah air,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|