Sembilan individu termasuk kanak-kanak sesat di hutan

Sembilan individu termasuk kanak-kanak sesat di hutan

Labuan: Aktiviti riadah sembilan individu termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun berakhir kejadian mencemaskan apabila semua mereka dilaporkan tersesat di Marinding Trail, di sini, malam tadi. 

Seorang daripada kumpulan mangsa berkenaan turut mengalami kecederaan di kaki sehingga tidak mampu berjalan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, semua mangsa berusia lingkungan tiga hingga 36 tahun membabitkan enam kanak-kanak, dua lelaki dan seorang wanita dewasa.

Katanya, kumpulan mangsa terbabit menyedari tersesat selepas gagal menemui jalan keluar selepas kira-kira sejam perjalanan menuruni bukit berkenaan.

“Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.34 petang daripada salah seorang mangsa yang memaklumkan kejadian dan meminta bantuan.

“Bertindak atas maklumat, seramai lapan anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan dan BBP Layangan dikerah bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebaik menemui kumpulan pendaki terbabit, pasukan bomba memberi rawatan awal kepada wanita berusia 27 tahun yang cedera di kaki sebelum dibawa turun menggunakan pengusung.

Katanya, pasukan bomba berdepan cabaran dalam operasi mencari dan menyelamat berikutan cuaca hujan lebat sehingga menyebabkan struktur permukaan tanah menjadi licin serta menyukarkan pergerakan.

“Semua mangsa berjaya diselamatkan pada jam 8.25 malam dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Labuan bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|