Pembersihan sungai atasi masalah banjir yang menjejaskan pesawah di Membakut

Pembersihan sungai atasi masalah banjir yang menjejaskan pesawah di Membakut

Membakut: Masalah banjir yang sering dihadapi pesawah di daerah kecil Membakut dijangka dapat dikurangkan melalui pembersihan sungai dan sistem pengairan sawah padi di kawasan ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Arif, berkata bagi tujuan itu, pihaknya sudah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan peruntukan kerajaan negeri.

“Masalah pesawah di Membakut ini ialah banjir, jadi kita akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan sungai serta beberapa tempat pengairan sawah.

“Kita sudah memohon peruntukan kepada kerajaan negeri dan kini dalam proses pertimbangan kerajaan,” katanya selepas perjumpaan bersama pesawah di Kampung Pimping, dekat sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Pegawai Daerah Beaufort, Abdul Imam Basirun dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Membakut, Ibrahim Terki.

Banjir baru-baru ini menyebabkan banyak kawasan rendah, di sini, ditenggelami air termasuk menjejaskan sawah padi berikutan keadaan air sungai yang melimpah.

Sementara itu, beliau berkata sebahagian kawasan sawah terbiar di sini, khususnya di Blok 7 yang tidak diusahakan lebih 10 tahun sudah dibuka semula melalui bimbingan Jabatan Pertanian.

Katanya, sehingga kini, lebih 70 ekar berjaya dibangunkan semula dalam usaha membantu petani meningkatkan pendapatan melalui penanaman padi.

“Blok 7 adalah antara kawasan sawah yang lama terbiar namun hasil bimbingan Jabatan Pertanian dan semangat petani, lebih 70 ekar dapat dibangunkan dengan tiga kali tuaian setakat ini.

“Demikian juga dengan beberapa blok yang lain, Jabatan Pertanian membiayai semua kos subsidi, pembersihan dan lain-lain yang dimanfaatkan oleh petani sehingga mereka boleh membangunjannya sendiri,” katanya.

Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, berkata selain Blok 7, Blok 1 yang mendapat bimbingan penuh Jabatan Pertanian juga melahirkan 15 pesawah yang meraih pensijilan Skim Amalan Baik Malaysia (myGAP), pada Februari lalu.

Secara keseluruhan, katanya lebih 200 ekar tanah di daerah kecil ini mula dibangunkan dengan aktiviti pertanian, termasuk sawah padi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|