Maut dihempap kayu balak

Maut dihempap kayu balak

Tawau: Seorang lelaki maut selepas dihempap kayu balak ketika cuba membuka ikatan lori yang membawa muatan kayu dalam kejadian di Kampung Kalabakan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa, Musa Baco Tang, 46, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di badan.

Kejadian itu mendapat reaksi ramai selepas rakaman yang dipercayai diambil rakan sekerja mangsa turut tular di media sosial.

Rakaman berdurasi 12 minit itu memaparkan sebuah jentera sedang mengangkat kayu balak yang menghempap mangsa sebelum dialihkan.

“Hujung minggu, hujung minggu. Astaghfirullahalazim Ya Allah Astaghfirullahalazim,”.

Itu antara sebutan yang dapat didengari dalam rakaman berkenaan yang
menunjukkan keadaan ngeri pada mayat mangsa.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang bekerja di premis berkenaan dikatakan sedang membuka ikatan di lori berkenaan.

Bagaimanapun, sebatang kayu balak yang di atas lori berkenaan tiba-tiba tergolek dan terus menghempap mangsa yang tidak sempat melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, laporan polis sudah diterima untuk tindakan lanjut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|