Kota Kinabalu: UMNO Sabah menyifatkan kerjasama yang dijalin melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara kerajaan Pusat dengan blok pembangkang semalam, sebagai perkembangan positif ketika negara berdepan dengan masalah kesihatan dan ekonomi.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata walaupun perjanjian kerjasama itu hanya bersifat sementara bagi menangani situasi dalam negara ketika ini, namun ia boleh membawa kebaikan yang diharapkan.
Katanya, kerjasama itu juga tidak mengubah fungsi pembangkang kerana mereka kekal menjadi pembangkang di Dewan Rakyat, namun pandangan mereka akan diambil kira oleh kerajaan demi kebaikan negara dan rakyat.
“Perundingan itu dibuat atas kepentingan negara dan rakyat tetapi selepas keseluruhan rakyat sudah menerima vaksinasi lengkap, kerajaan boleh mengadakan pilihan raya umum (PRU),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian sebagai mengulas kerjasama di antara kerajaan Pusat dan pembangkang yang dimeterai dalam satu MoU, semalam.
MoU Transformasi dan Kestabilan Politik itu dibuat di antara kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) selepas beberapa siri perbincangan di antara wakil kerajaan dan pembangkang sejak akhir bulan lalu.
Ia ditandatangani bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta semua ketua parti dalam PH.
Mereka ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
Bung Moktar berkata kerjasama itu bukan saja membawa kebaikan dari sudut politik, malah manfaatnya akan diterjemahkan dalam aspek pemulihan negara pasca Covid-19.
“Kerjasama ini sekurang-kurangnya membawa keamanan dalam negara, menjernihkan seketika konflik politik dan sekali gus memberikan kerajaan ruang untuk fokus sepenuhnya terhadap memberi khidmat kepada rakyat.
“Kita tahu rakyat sangat dahagakan bantuan, sokongan dan kepemimpinan yang kukuh, jadi kerjasama yang bermakna akan memberi peluang untuk kerajaan bergerak dengan lebih efektif,” katanya.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menambah, pemeteraian MoU itu membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’ yang kukuh dan mantap sejajar semangat Keluarga Malaysia dan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Kita yakin MoU yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengetepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif,” katanya.
-Deasoka