Kedai empat ekor, lumba kuda dibuka semula mulai esok

Kedai empat ekor, lumba kuda dibuka semula mulai esok

Kota Kinabalu: Premis agensi nombor ramalan dan Kelab Lumba Kuda di Sabah dibenarkan beroperasi semula bermula esok.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, bagaimanapun berkata semua pekerja dan pelanggan perlu lengkap vaksin dan berstatus risiko rendah.

Katanya, kebenaran itu selaras dengan kelulusan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk membenarkan operator perjudian yang dilesenkan oleh MOF dan Kelab Lumba Kuda di bawah Lembaga Totalisator Malaysia beroperasi semula mulai esok.

“Berikutan itu, kerajaan negeri melalui
Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (Covid-19) bersetuju untuk membenarkan agensi nombor ramalan dan Kelab Lumba Kuda di Sabah beroperasi mulai 14 September 2021.

“Adalah diingatkan bahawa semua pekerja dan pelanggan untuk aktiviti ini hendaklah sudah lengkap divaksin dan berstatus risiko rendah Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Premis menjual nombor ramalan dan aktiviti kelab lumba kuda tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini kerana tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata Sabah hari ini terus mencatat penurunan 68 lagi kes baharu Covid-19 kepada 1,649 kes berbanding 1,717 kes semalam.

Katanya, kes kematian turut berkurang kepada 39 kes hari ini, berbanding 84 kes semalam dengan Tawau dan Sandakan mencatat kematian tertinggi hari ini iaitu masing-masing enam kes.

“Masing-masing lima kes lagi dilaporkan di Kota Belud dan Tuaran, diikuti empat kes di Kota Kinabalu, masing-masing dua kes di Lahad Datu dan Papar, manakala Sipitang, Kudat, Kinabatangan, Kunak, Pitas, Keningau, Penampang, Kalabakan dan Beluran masing-masing mencatat satu kes,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bilangan kematian yang dilaporkan setiap hari tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam, memandangkan ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan lewat daripada tarikh sebenar kematian.

Dalam pada itu, katanya seramai 2,085 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh haru ini, manakala 4,613 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,565 orang di hospital, manakala 2,976 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam, diikuti 62 orang di Pusat Tahanan Sementara dan penjara, manakala 10 orang di fasiliti swasta.

“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal pula seramai 210 orang merangkumi 126 di ICU atau ‘repurposed critical care’ dan 84 di wad terbuka, manakala 71 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Masidi berkata, satu kluster baharu Covid-19 turut dilaporkan hari ini di Kinabatangan yang mencatat sebanyak 55 kes hari ini.

Katanya, Kluster Ladang Desa Jerocco 2 itu adalah jenis tempat kerja iaitu di ladang kelapa sawit, membabitkan kes indeks seorang penyelia ladang warga negara Indonesia berumur 39 tahun.

Lelaki berkenaan disahkan positif Covid-19 di klinik panel ladang setelah bergejala sejak 1 September lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|