Operasi pencarian mangsa dibaham buaya masuk hari keempat

Operasi pencarian mangsa dibaham buaya masuk hari keempat

Lahad Datu: Operasi pencarian kanak-kanak yang dikhuatiri dibaham buaya di Kampung Sinakut Felda, Sahabat 16, di sini, masih berdepan kebuntuan selepas memasuki hari keempat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi pencarian dijalankan di pesisir pantai sejauh 15 kilometer dari lokasi kejadian.

Pasukan bomba melakukan gerakan operasi mencari mangsa yang dikhuatiri dibaham buaya di Kampung Sinakut Felda, Sahabat 16, Lahad Datu. Pix Ihsan Bomba

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga dijalankan menggunakan kaedah Surface Rescue bersama agensi penyelamat lain.

“Selain itu, pasukan bomba juga menjalankan operasi pencarian di setiap anak-anak sungai berhampiran kawasan pantai berkenaan.

“Pasukan SAR berjalan menyusuri anak sungai selain cuba mengesan bau busuk yang mungkin terhasil daripada mayat mangsa,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, usaha itu juga gagal menemui sebarang tanda positif yang mungkin membawa kepada penemuan mangsa.

“Setakat jam 12.30 tengah hari tadi, pasukan operasi berhenti rehat dan operasi akan disambung semula pada sebelah petang,”katanya.

Dalam kejadian jam 7.18 malam 4 November lalu, mangsa Mohd Zul Arian Andullah berusia 10 tahun dikhuatiri dibaham buaya selepas dilaporkan hilang ketika mandi laut bersama beberapa rakan.

Bagaimanapun usaha pencarian sehingga kini masih gagal menemui mangsa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|