Sidang DUN Sabah: Kawalan harga dilaksanakan setiap hari – Shahelmey

Sidang DUN Sabah: Kawalan harga dilaksanakan setiap hari – Shahelmey

Kota Kinabalu: Kawalan kenaikan harga barangan di Sabah diteruskan setiap hari menerusi penguatkuasaan undang-undang sedia ada di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata walaupun bukan dalam tempoh Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP), kawalan harga tetap dilaksanakan.

Katanya, kawalan terhadap barangan keperluan asas seperti telur dan minyak dilaksanakan setiap hari, manakala harga barangan lain dipantau melalui penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Dalam hal kepenggunaan kita memang setiap hari ada kawalan harga, telur minyak dan sebagainya tetapi pada musim perayaan, barangan tertentu yang ada permintaan tinggi, dibimbangi ada kecenderungan peniaga untuk kaut untung sebab itu kita laksanakan SKHMP.

“Untuk kawalan harga seterusnya, kita akan sentiasa pantau dan laksanakan melalui penguatkuasaan undang-undang sedia ada. Jika ada peniaga naikkan harga barang tidak munasabah, kita gunakan hak pengguna buat aduan kepada KPDNHEP supaya tindakan diambil terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Datuk Ewon Benedick (UPKO – Kadamaian) supaya kawalan harga dilaksanakan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 pada sesi penggulungan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan pengulungannya, Shahelmey berkata bagi memastikan kenaikan harga barangan yang disebabkan ketidakcukupan barangan dalam pasaran, KPDNHEP akan terus menguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Bagi menangani aktiviti mengambil untung yang tidak munasabah, KPDNHEP menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Di pihak pengguna pula, sekiranya berlaku pengenaan harga yang tidak munasabah, hak pengguna dibela di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.

Pada masa sama, katanya KPDNHEP Sabah terus menggerakkan seramai 85 Pegawai Pemantau Harga (PPH) secara harian untuk memantau harga 480 item di 138 premis seluruh Sabah untuk memastikan harga barangan pada tahap yang munasabah.

Mengulas lanjut mengenai SKHMP, Shahelmey berkata KPDNHEP mengambil inisiatif memanjangkan tempoh program itu dengan melaksanakannya lebih awal menjelang perayaan Krismas.

“KPDNHEP telah mewartakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMMPKM) 2021 yang berkuatkuasa pada 7 Disember 2021 hingga 31 Disember 2021, berbanding hanya 10 hari bagi SHMMP Krismas pada tahun 2020. Sebanyak 12 jenis barangan telah diwartakan untuk dipatuhi oleh peniaga.

“Program Jualan Keluarga Malaysia juga sudah dimulakan di perkarangan Majlis Daerah Putatan pada hari 4 Disember 2021 di mana jualan ini melibatkan barangan keperluan asas kepada pengguna dengan harga yang mampu milik.

“KPDNHEP telah mendapat kerjasama daripada jabatan dan agensi kerajaan, antaranya FAMA, LKIM, KPD, selain pembekal utama lain. Sambutan daripada pengguna sangat menggalakkan dan rata-rata mereka sangat berpuas hati dengan program ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan penguatkuasaan berhemah melalui Arahan Pengarah Penguatkuasa Bil 39/2021 membolehkan peniaga ayam dan telur di peringkat borong dan runcit bersetuju mengurangkan margin keuntungan sejak 11 September lalu membabitkan 82 premis memberikan komitmen penurunan margin keuntungan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|