Sidang DUN Sabah: Tiada bayaran dikenakan Chong Wei jadi duta pelancongan Sabah

Sidang DUN Sabah: Tiada bayaran dikenakan Chong Wei jadi duta pelancongan Sabah

Kota Kinabalu: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) tidak membuat sebarang bayaran kepada bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang dilantik sebagai duta pelancongan Sabah.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin ketika Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) mencelah dalam sesi penggulungannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Menurut Jafry, Chong Wei merupakan seorang idola ikon yang mempunyai ramai pengikut di media sosial dan pelbagai platfom.

“Beliau juga merupakan seorang influencer yang boleh membuat promosi melalui Instagram dan juga Facebook yang mempunyai pengikut satu juta lebih.

“Untuk makluman, pihak STB tidak membayar satu sen pun kepada beliau dan beliau bersetuju untuk membantu mempromosikan Sabah secara percuma. Cuma apabila kita bawa dia nanti, kita kena tanggung contohnya kita buat penggembaraan untuk tujuan mempromosikan Semporna, kita tanggung pembayaran perjalanan. Itu saja yang dia minta.

“Jadi kita amat berbesar hati dan merakamkan ucapan yang tinggi atas kesanggupan beliau menjadi duta yang kita lantik, tidak ada bayaran sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan Mohd Shafie berhubung asas pelantikan Chong Wei sebagai duta selain menjadi ikon dunia kerana ia adalah dalam sektor pelancongan dan berapa kos sebenar untuk perbelanjaan yang ditampung kerajaan atas pelantikan itu.

Sebelum itu, beliau turut menjawab soalan daripada Datuk Christina Liew (PKR-Api-Api) yang mempersoalkan keputusan STB yang tidak melantik lebih ramai rakyat Sabah sebagai duta yang dilihat lebih memahami dengan budaya dan makanan negeri ini.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa kerajaan turut mengambil beberapa duta tempatan dari Sabah namun untuk tujuan promosi dan disebabkan Chong Wei merupakan ikon dunia maka kesempatan itu diambil untuk melantik beliau memperkenalkan Sabah.

“Sebelum ini kita sudah lantik dua, tiga orang telah kita ambil menjadi ikon,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|