Sidang DUN Sabah: Sokong program kesedaran isu kahwin bawah umur

Sidang DUN Sabah: Sokong program kesedaran isu kahwin bawah umur

Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah menyokong usaha memberi kesedaran mengenai isu perkahwinan bawah umur di Sabah.

Menterinya, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata soal memberi kesedaran mengenai hak wanita dan wanita muda yang berkaitan dengan isu itu adalah sesuatu yang baik dan boleh dilaksanakan di bawah kementeriannya.

Bagaimanapun, katanya usaha menangani isu itu yang membabitkan soal undang-undang berada di luar bidang kuasa kementeriannya.

“Kalau mengenai memberi kesedaran kepada wanita, wanita muda, kita memang sambut baik cadangan itu,” katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Jannie Lasimbang (DAP – Kapayan) mengenai program kesedaran isu perkahwinan bawah umur yang dicadang dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat bersama badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Shahelmey yang juga EXCO Kesihatan negeri, berkata beberapa cadangan dikemukakan bagi mengatasi masalah kekurangan letak kereta khususnya di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, termasuk membina tempat letak kereta bertingkat di tapak sedia ada.

Bagaimanapun, katanya perkara itu masih dalam peringkat cadangan dan belum ada perkembangan terkini mengenainya.

“Bagi masalah letak kereta di Hospital Duchess Of Kent, Sandakan pula, tambahan 110 lot letak kereta dijangka dilaksanakan tahun depan melalui kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|