Op Patuh dilaksanakan 3 kilang di Putatan, Penampang

Op Patuh dilaksanakan 3 kilang di Putatan, Penampang

Penampang: Tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan industri perkilangan di daerah ini dan Putatan sepanjang Op Patuh dilaksanakan, hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, polis bersama beberapa lagi agensi kerajaan lain sentiasa menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat dilandaikan.

Mazli (tengah) bersama (kiri) ketika memeriksa kilang memproses ayam di Penampang.

Malah katanya, dalam operasi hari ini yang membabitkan kilang besi, kilang plastik dan pusat proses ayam juga didapati beroperasi menuruti SOP ditetapkan.

“Setakat ini, kita mendapati premis perkilangan di daerah ini mematuhi SOP dan tiada kompaun dikeluarkan sepanjang operasi ini dilakukan.

“Kita juga tidak menerima sebarang aduan membabitkan kesalahan SOP di kilang-kilang sekitar daerah ini,” katanya selepas menjalankan pemeriksaan kilang di sekitar Penampang dan Putatan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Mazli (dua dari kiri) memeriksa sebuah kilang plastik di Penampang.

Operasi itu turut membabitkan seramai 54 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Daerah Penampang (MDP)

Mengulas lanjut, Mazli berkata, operasi pemantauan dan pemeriksaan akan terus dijalankan bagi memastikan kilang-kilang di daerah ini tidak melanggar SOP.

“Operasi Op Patuh hari ini adalah yang pertama dilaksanakan di Sabah dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Sekiranya terdapat pelanggaran, pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|