378,507 peminjam AIM terima lanjutan penangguhan kutipan

378,507 peminjam AIM terima lanjutan penangguhan kutipan

Kota Kinabalu: Seramai 378,507 peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di seluruh negara memperoleh lanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman membabitkan selama sebulan sehingga akhir Julai ini.

Pengerusi AIM, Datuk Seri Lajim Ukin (gambar) berkata, penangguhan berkenaan adalah selaras keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menerusi fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 29 Jun lalu.

“Menerusi penangguhan terbaharu ini, peminjam atau Sahabat AIM boleh menikmati pengecualian bayaran selama dua bulan disebabkan pelaksanaan PKP 3.0 yang bermula pada 1 Jun.

“Lanjutan penangguhan selama sebulan berkenaan membabitkan bayaran balik pinjaman yang sepatutnya dikutip daripada Sahabat AIM berjumlah kira-kira RM384 juta.

“AIM sebelum ini memberikan penangguhan bayaran balik selama 16 minggu (empat bulan) secara automatik kepada Sahabat AIM ketika PKP 1.0 pada tahun lalu sebelum disusuli penangguhan bersasar sehingga Oktober 2020 yang membabitkan seramai 12,568 Sahabat AIM yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan masih diberi penangguhan hingga ke hari ini,” katanya ketika sidang media hari ini.

Dalam sidang media sama, Lajim memaklumkan pihaknya turut menangguhkan semua mesyuarat pusat, perjumpaan pusat khas dan kutipan bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar, Simpanan Tabung Kumpulan, Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) dan Tabung Khairat Hutang.

Menurut beliau, AIM juga menangguhkan pembentangan permohonan bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar, pengeluaran Tabung Kumpulan, tuntutan Tabung Khairat Hutang, penjadualan semula pembiayaan dan pembentangan untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman.

“Bagaimanapun, kita membenarkan kutipan balik bayaran Skim Pembiayaan Ikhtiar melalui kaedah bukan tunai atau e-bayaran.

“AIM turut memberikan bantuan bekalan makanan asas yang setakat ini memberi manfaat kepada seramai 20,700 keluarga menerusi Program Bakul Kasih AIM dalam usaha memastikan kebajikan Sahabat AIM terbela,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|