Sindiket pengedaran dadah dilumpuhkan di Kota Kinabalu

Sindiket pengedaran dadah dilumpuhkan di Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif di ibu negeri ini selepas menahan dua individu dan merampas dadah bernilai RM110,000 dalam serbuan di kawasan Suria Inanam, di sini, semalam.

Serbuan jm 2.40 petang itu dijalankan hasil maklumat dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, dalam operasi khas berkenaan, pihaknya berjaya menahan dua lelaki berusia 30 dan 32 tahun.

Mohd Zaidi dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu.

Katanya, hasil pemeriksaan berjaya menemui tiga bungkus plastik berisi hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat dianggarkan 3,019.25 gram.

“Semua dadah berkenaan dibungkus rapi di dalam plastik teh cina bertulis ‘Tie Guan Yin’ dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Polis turut merampas dua kenderaan jenis Ford Raptor dan Isuzu D-max bersama empat telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk urusniaga transaksi dadah berkenaan,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Dadah syabu dan beberapa barang kes turut dirampas.


Mohd Zaidi berkata, siasatan awal, kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadi dalang sindiket pengedaran dadah rentas sempadan dengan upah antara RM1,000 hingga RM5,000.

Katanya, siasatan turut mendapati suspek mengakui bekalan dadah diperolehi dari semenanjung Malaysia dan bekalan ini boleh digunakan lebih 15,000 pengguna sekiranya diedarkan di pasaran tempatan.

“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan kencing pula mendapati hanya seorang positif dadah.

“Hasil penahanan ini, polis turut menyita sebuah kenderaan Toyota Land Cruiser, seutas jam tangan berjenama dan barang kemas seberat 383.03 yang dianggarkan bernilai keseluruhan hampir RM600,000,”’katanya.

Mohd Zaidi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

Katanya, jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

– Deasoka


 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|