Penyelerasan efisyen demi selesai isu SOP: Salleh

Penyelerasan efisyen demi selesai isu SOP: Salleh

Kota Kinabalu: Pengerusi Kelab Penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Salleh Said Keruak (gambar) berharap ada penyelarasan yang efisyen dalam mencapai matlamat untuk menyelesaikan isu prosedur operasi standard (SOP) di negeri ini.

Beliau berkata, kejayaan mengatasi pandemik Covid-19 adalah bergantung kepada semangat pemerintahan persekutuan (federalism) dengan melibatkan kerjasama baik di antara Persekutuan dan Negeri.

Menurutnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan SOP adalah undang-undang Persekutuan namun demikian, ianya merupakan satu bidang kuasa bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah.

“Kita boleh rujuk kepada Senarai III, Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Ini sebabnya Sabah juga mempunyai undang-undang tersendiri dalam mengawal pencegahan penyakit seperti Ordinan Kesihatan Awam 1960,” katanya.

Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata demikian dalam status di Facebooknya yang dimuatnaik pagi tadi.

Semalam, beliau turut menyuarakan isu Sabah tidak tersenarai di antara negeri yang beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Salleh turut berpendapat, pengumuman yang dibuat oleh pihak Persekutuan itu adalah menghairankan memandangkan Sabah masih menanti permohonan SOP.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 28 Jun lalu telah mengumumkan bahawa beberapa sektor ekonomi dan sosial dibuka namun menerima bantahan daripada Kerajaan Persekutuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|