OKU terima vaksin Covid-19

OKU terima vaksin Covid-19

Papar: “Aduh, sakit.. rasa pedas masa kena jarum,” itu luahan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang hadir untuk menerima vaksin pada Program Outreach Covid-19, di daerah ini, semalam.

Bagaimanapun, bagi Huo Che Chuan, 42, ia perlu dilalui untuk mengelakkan daripada terdedah kepada jangkitan wabak Covid-19.

Dia yang ditemani abangnya, Ma’aruf Huo Abdullah, 46, pada vaksinasi itu pada mulanya kelihatan tenang seperti biasa.

Namun telatah comelnya ketika menerima suntikan menarik perhatian lensa kamera media yang berada di lokasi.

Anak kelima daripada 10 beradik itu yang tinggal bersama kakaknya di Kampung Ulu Kimanis, Batu 14, sedikit sebanyak memberikan keyakinan kepada penerima vaksin yang turut berada di pusat berkenaan.

Berbeza dengan seorang lagi OKU, Amza Aqilla Engelbert, 23, dari Kampung Mandubai, di sini, yang menerima vaksin di dalam kenderaan bapanya, Engelbert Simok.

Amza yang juga OKU Autisme ternyata memahami tujuan dia divaksin selepas diberi penjelasan daripada ahli keluarga.

Turut mendapatkan vaksinasi berkenan ialah warga emas OKU, Bin Gat Tinggalung, 92, yang kehilangan kaki kanan akibat jangkitan kuman.

Beliau yang diiring petugas Jabatan Sularelawan Malaysia (Rela) menggunakan kerusi roda tetap tenang ketika menerima suntikan.

Pemantauan media di lokasi menimbulkan persoalan selepas melihat kepada komitmen dan solidariti golongan OKU menerima vaksin.

Meskipun berdepan kesukaran untuk bergerak dengan kudrat sendiri tetapi mereka tetap cekal mendapatkan vaksinasi dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap negara.

Jadi, atas alasan apa lagi yang mahu terus dipertahankan oleh golongan antivaksin? daftar dan vaksin dengan segera demi melindungi diri dan orang di sekeliling.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|