Abdul Rahman letak jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS

Abdul Rahman letak jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS

Kota Kinabalu: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini meletak jawatan sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkuat kuasa serta merta.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua UMNO Tuaran itu berkata tindakannya sebagai susulan kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dibuat pada 3 Ogos lalu.

“Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mantan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kerana memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UMS.

“Namun, selaras keputusan yang diputuskan di dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 3 Ogos 2021, saya, sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut patuh dan setia atas ketetapan parti ini.

“Maka, saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UMS dengan serta merta,” katanya.

Jelasnya, UMNO adalah sebuah parti perjuangan yang mendukung titah Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berpelembagaan seperti yang termaktub dalam asas dan tujuan UMNO mengikut Fasal 3.

“Akhir kata, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh kakitangan UMS kerana memberikan kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatan saya.

“Semoga kita semua berada di dalam lindungan Allah SWT demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|