Jual kopi jana pendapatan alternatif

Tawau: Sukar dinafikan penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu memberi kesan yang menjejaskan ekonomi ramai ahli masyarakat.

Bukan saja kehilangan pekerjaan malah ramai yang terpaksa berharap kepada bantuan kerajaan bagi meneruskan kehidupan.

Namun, situasi itu berbeza dengan seorang anak muda yang mengambi inisiatif menjalankan perniagaan menjual kopi menggunakan basikal sedikit sebanyak membantu mengatasi masalah dihadapinya.

Bagi Nicco Amran, 23, usaha itu ternyata membantunya untuk meneruskan kehidupan
dengan lebih baik selepas hilang pekerjaan di sebuah butik di ibu negara sejak pandemik Covid-19.

Pemuda berasal dari kampung Tanjung Batu Darat, di sini, berkata, dia diberhentikan kerja berikutan majikan tidak lagi mampu menanggung kos operasi sehingga terpaksa menutup perniagaan.

Katanya, dia terpaksa kembali ke Sabah untuk memulakan hidup baru sebelum membuat keputusan menjadi peniaga minuman berasaskan kopi dengan menggunakan basikal.

“Bermodalkan RM2,000 hasil duit yang disimpan semasa masih bekerja, saya memulakan perniagaan sejak Jun lalu di kawasan bulatan Sabindo.

“Saya berharap idea ini akan menjadi inspirasi kepada orang Tawau supaya berani mencuba sesuatu yang baru tanpa hanya menunggu bantuan kerajaan semata-mata,” Katanya ketika ditemui, hari ini.

Nicco berkata, dia memperoleh idea itu menerusi beberapa rakan lama yang pernah tinggal dan bekerja di negara jiran Indonesia dan Thailand.

Katanya, dia cuba membuat sedikit kelainan demgan memilih label pada cawan kopi dengan tema ‘Kopi Senja Dan Kamu’.

“Ia bersesuaian dengan waktu perniagaan yang bermula pada jam 4 sehingga jam 6 petang setiap hari.

“Ia membolehkan pelanggan boleh menikmati minuman kopi sambil santai menyaksikan waktu senja,” katanya.

Nicco berkata, kebanyakan pelanggannya kini adalah mereka yang gemar melakukan aktiviti ‘jogging’ dan berbasikal di waktu petang di pesisir pantai berkenaan.

Malah katanya, ada juga pelanggan yang terdiri daripada penunggang motosikal dan penggemar suasana petang di tepi pantai menjadi pelanggan produk minumannya.

Sementara itu, Nicco berkata, perisa minuman kopi yang dijualnya juga dipelbagaikan dan disediakan dalam bentuk panas atau sejuk.

Katanya, ia bersesuaian dengan permintaan pelanggan dengan harga yang berpatutan dan lebih murah berbanding dengan minuman kopi di premis kedai.

“Kopi ini ada beberapa jenis, ada Arabika, Robusta, Dark Medium dan Dark Roosted yang memberikan pelbagai rasa.

“Namun saya memilih untuk menyediakan minuman kopi jenis Arabika Ekspresso untuk menguatkan lagi rasa kopi.

“Disebabkan pandemik Covid-19, saya sedar ramai yang berdepan kekangan kewangan, oleh itu saya menjual produk minuman ini pada harga yang mampu,” katanya.

Nicco berkata, dia turut memasarkan produk minumannya menerusi media sosial seperti Facebook yang memaparkan perkongsian dan komen setiap pelanggan yang sudah mencubanya.

Difahamkan, Nicco yang membuka tempat berniaga menggunakan basikal mampu menjual sehingga 40 cawan minuman kopi setiap hari.

Ia dapat menjana pendapatan antara RM160 sehingga RM 200 walaupun terpaksa mengayuh basikal sejauh lapan kilometer dari rumahnya setiap hari.

Sementara itu, seorang pelanggan, Saniboy Maruji, 22, yang gemar melakukan aktiviti berbasikal setiap petang berkata, dengan adanya jualan kopi itu, dia dapat menikmati kopi sambil melihat pemandangan yang indah.

Katanya, selepas penat berbasikal, dia hanya perlu pergi ke tempat jualan itu untuk membeli minuman bagi menghilangkan penat dan haus.

“Di sini, saya dapat minum kopi petang sambil menyaksikan senja dan ini merupakan inisiatif yang baik yang boleh menjadi ikutan golongan muda untuk mencari rezeki,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|