Covid-19: Kes di Sabah kekal tinggi – Tuaran, Beluran dan Sandakan catat kenaikan mendadak

Covid-19: Kes di Sabah kekal tinggi – Tuaran, Beluran dan Sandakan catat kenaikan mendadak

Kota Kinabalu: Dengan catatan 1,255 kes, tidak banyak perubahan dalam kes harian Covid-19 di Sabah hari ini, cuma turun 36 kes berbanding 1,291 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah itu masih dalam kategori yang sangat tinggi, malah beberapa daerah dikesan berlaku peningkatan mendadak.

Katanya, sekurang-kurangnya tiga daerah iaitu Tuaran, Beluran dan Sandakan mencatat peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 hari ini berbanding semalam.

“Kes baharu di Tuaran melambung tinggi ke 143, bertambah 47 kes berbanding 96 kes yang dicatatkan semalam. Ini disebabkan 39 kes baharu yang diperolehi melalui saringan bersasar di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan 79 kes kontak rapat.

“Kes baharu di Beluran juga naik mendadak ke 123 dengan 109 kes daripadanya dikesan melalui saringan bersasar. Kelmarin, Beluran hanya mencatatkan enam kes.

“Kes baharu di Sandakan juga mencatatkan penambahan yang tinggi iaitu daripada 72 kes semalam kepada 108 kes hari ini. Kluster baharu Lebuh Empat menyumbang 39 kes bagi daerah Sandakan. Semua daerah mencatatkan kes baharu hari ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, Kota Kinabalu dan Tawau juga masih mencatat kes baharu yang tinggi walaupun ada sedikit penurunan berbanding semalam, iaitu masing-masing 241 dan 135 kes hari ini, berbanding 262 kes dan 177 kes semalam.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan tempatan dan Perumahan negeri, berkata kontak rapat kekal penyumbang terbesar kes baharu hari ini dengan sebanyak 618 kes atau 49.2 peratus daripada jumlah harian.

“Ia diikuti kategori bergejala sebanyak 247 kes (19.7 peratus) dan melalui kluster sedia ada sebanyak 131 kes (10.4 peratus).

“Kes baharu yang diperolehi melalui saringan bersasar di lokasi PKPD pula menyumbang hampir 187 kes atau hampir 15 peratus kepada kes keseluruhan.

“Ada dua kluster baharu hari ini iaitu Kluster Tarikan, Nabawan yang sehingga kini mencatat 14 kes termasuk satu kes baharu hari ini dan Kluster Lebuh Empat, Sandakan yang merekodkan kumulatif 50 kes termasuk 39 kes baharu,” katanya.

Hari ini juga katanya sebanyak 38 kes baharu dikesan membabitkan tahanan warga asing di penjara atau Pusat Tahanan Sementara (PTS) yang menunggu dihantar balik ke negara asal.

Dalam pada itu, Masidi seramai 995 pesakit daripada 1,255 kes yang dilaporkan pada hari ini berada dalam kategori satu dan dua, manakala empat orang dalam kategori empat dan 246 kes lagi masih dalam siasatan lanjut untuk menentukan kategori masing-masing.

Bagi program vaksinasi, katanya semalam Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berjaya memberi 48,195 dos vaksin kepada rakyat yang layak.

“Kita mengharapkan bekalan vaksin yang banyak dan tidak terputus bagi membolehkan JKNS mempertingkat dan mempercepatkan gerakan vaksinasi di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|