Kota Kinabalu: Fungsi Kompleks Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini dalam membantu memasarkan hasil pertanian di negeri ini dimantapkan lagi menerusi usaha menambah baik kemudahan sedia ada.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata pembinaan Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Sabah di kompleks berkenaan adalah antara usaha memantapkan kemudahan sedia ada, selain mempelbagaikan lagi pendekatan FAMA dalam membantu petani.
Beliau berkata, pusat berkenaan yang dijangka siap pada Ogos tahun depan yang juga sebahagian daripada Pelan Perancangan Pembangunan Kompleks Pemasaran FAMA KKIP 2021–2025 dilaksanakan menggunakan peruntukan yang disediakan kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi.
“Selain pembinaan pusat pemprosesan ini, FAMA Sabah juga menaik taraf pusat operasi Kota Kinabalu dan memasang bilik sejuk selain menambah stor simpanan operasi dan membangunkan Pusat Operasi (Depoh) yang termasuk sebahagian daripada pelan KKIP.
“Pusat pemprosesan ini secara khususnya akan memberi kemudahan kepada golongan sasar di samping membantu mereka memasarkan hasil pertanian bagi mengelakkan daripada berlaku lebihan atau lambakan hasilan pertanian.
“Pusat pemprosesan ini juga berperanan memproses buah–buahan untuk dijadikan sebagai produk sejuk beku dan produk pemprosesan minima,” katanya pada lawatan kerja di Kompleks FAMA Sabah di KKIP, hari ini.
Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, kementeriannya melalui FAMA sentiasa memberikan perhatian terhadap aspek pemasaran keluaran hasil pertanian yang diusahakan petani termasuk di negeri ini.
Katanya, usaha itu selaras dengan penekanan yang akan diberikan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) untuk memperkukuh akses pasaran bagi hasil keluaran permintaan tinggi dan berorientasikan eksport.
Sementara itu, beliau berkata kementeriannya akan membuat pindaan kepada Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 [Akta 141] bagi memberi kuasa kepada FAMA dalam mengedar dan memasarkan hasil ternakan dalam pasaran negara.
Pindaan yang dicadang untuk dibawa ke sidang Parlimen dalam tempoh terdekat ini akan memperluaskan fungsi FAMA terhadap pemasaran komoditi dan produk ternakan menerusi rantaian pemasarannya yang luas.
“Buat masa ini, Akta 141 mempunyai bidang kuasa yang terhad yang mana tafsiran keluaran pertanian dalam seksyen 1A hanya memperuntukkan keluaran pertanian tertentu dan tidak termasuk komoditi ternakan.
“FAMA akan mengambil peranan untuk turut mengedarkan komoditi ternakan serta menstabilkan rantaian bekalan bagi komoditi berkenaan untuk memastikan bekalan ternakan sentiasa ada dalam pasaran dan rantaian bekalannya tidak terganggu,” katanya.
-Deasoka