Terjemahkan sokongan kepada usul undi percaya PM

Terjemahkan sokongan kepada usul undi percaya PM

Kota Kinabalu: Sokongan UMNO Sabah terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seperti dijelaskan parti itu dalam satu kenyataan malam tadi diharap dapat diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, di Parlimen bulan depan.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata pihaknya menghargai komitmen disuarakan UMNO Sabah itu yang bersandarkan dengan mandat diberikan rakyat Sabah kepada GRS mengambil alih pentadbiran negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September tahun lalu.

“Kita mengalu-alukan pendirian UMNO Sabah untuk menyokong GRS dan tentu sekali kita juga mengharapkan agar UMNO Sabah akan terus menyokong pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri apabila usul undi percaya dikemukakan di Parlimen nanti,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah, di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), dekat sini, hari ini.

Setakat semalam, seorang Ahli Parlimen UMNO Sabah, Datuk Mohamad Alamin (Kimanis) dilaporkan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedia ada pimpinan Muhyiddin.

Sokongan itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media khas Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) semalam.

Bagaimanapun, katanya pendirian seorang lagi Ahli Parlimen UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan) yang juga Timbalan Ketua Menteri belum diperolehi kerana tidak dapat dihubungi.

Sehingga kini, Bung Moktar masih berdiam diri mengenai perkara itu.

Sementara itu, Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, berkata tindakan pelbagai pihak menyatakan sokongan atau menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri yang disuarakan sejak kebelakangan ini hanya memberi kesan apabila usul undi percaya dibentangkan di Parlimen.

Jelasnya, semua pihak boleh menyatakan sokongan atau sebaliknya terhadap Muhyiddin, namun keputusan akhir mengenai sama ada Perdana Menteri masih mempunyai sokongan atau tidak untuk memimpin kerajaan PN ditentukan menerusi usul undi percaya.

“Apa pun pendapat-pendapat ini hanya berkesan, memberi kesan kepada pimpinan Perdana Menteri apabila usul percaya atau tidak percaya dikemukakan di Parlimen yang dijadualkan pada September.

“Jadi apa keputusan akhir, sama ada pimpinan Tan Sri (Muhyiddin) dapat sokongan atau tidak, akan ditentukan dalam sidang Parlimen akan datang,” katanya.

Mengenai peletakan jawatan dua menteri dari UMNO dalam barisan Kabinet PN, Ronald sekali lagi menegaskan bahawa sokongan yang penting adalah melalui usul percaya yang dikemukakan di Parlimen.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|