Tiga lelaki ditahan, lebih 2 kilogram syabu dirampas

Lahad Datu: Intipan selama sebulan yang dijalankan polis akhirnya berhasil apabila berjaya menahan tiga lelaki yang dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah di daerah ini, semalam.

Ketiga-tiga lelaki berusia 18 hingga 31 tahun itu ditahan pada jam 3.20 petang, dalam operasi ‘Op Tapis’ yang dijalankan di Reno Fajar Fasa Dua, Jalan Pantai, di sini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, bertindak atas maklumat, pasukan polis berjaya mengesan tiga suspek sedang berjalan melalui lorong bangunan kedai sambil membawa bungkusan plastik.

Katanya, sebaik cuba ditahan, ketiga-tiga suspek bertindak cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan dengan pasukan serbuan polis.

“Ketiga-tiga suspek akhirnya berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati beg plastik yang dibawa suspek mengandungi dua bungkusan berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dadah yang dibawa seberat 2,130 gram yang dianggarkan bernilai RM85,048 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan berkata, semua suspek dikenalpasti warga Filipina tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati hanya seorang suspek positif dadah jenis amphetamine dan methaphetamine.

“Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Berdasarkan siasatan awal, dadah yang dirampas dianggarkan mampu digunakan seramai 10,695 penagih dadah,” katanya.

Sehubungan itu, Rohan berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu akan terus mempertingkatkam usaha dan tindakan pembanterasan kegiatan dadah di daerah ini.

Katanya, pihak polis amat memandang berat jenayah berkenaan dan orang yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan kepada polis untuk tindakan segera.

“Sepanjang tempoh Januari hingga Julai tahun ini, IPD Lahad Datu sudah menahan seramai 182 orang membabitkan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Daripada jumlah itu, 131 ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|