Myvi hanyut, seorang mangsa dan kenderaan ditemui terperangkap di dasar sungai

Myvi hanyut, seorang mangsa dan kenderaan ditemui terperangkap di dasar sungai

Kota Kinabalu: Kenderaan yang hanyut di Sungai Kionsom, di sini, semalam, ditemui terperangkap di dasar Sungai Kionsom, Kampung Dambai, kira-kira 2 kilometer daripada lokasi kejadian, pagi tadi.

Kenderaan itu ditemui jam 7.20 pagi oleh pasukan penyelam bomba dan mengesan salah seorang mangsa masih terperangkap di dalam kenderaan Perodua Myvi berkenaan.

Seorang mangsa yang ditemui terperangkap di dasar sungai.

Pelbagai usaha dilakukan untuk membawa keluar kenderaan berkenaan namun gagal sebelum terpaksa mendapatkan bantuan jengkaut daripada syarikat pembinaan berhampiran.

Usaha itu akhirnya berjaya membawa keluar kenderaan berkenaan pada kira-kira jam 11 pagi sebelum mengeluarkan mayat yang masih terperangkap di dalamnya.

Ketua Operasi, Kenneth Willfred berkata, kenderaan terbabit ditemui penduduk kampung yang turut membantu dalam misi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, mereka mengalami sedikit kesukaran ekoran kedudukan kereta yang terperangkap di dasar sungai berikutan kenderaan berkenaan dipercayai dipenuhi pasir dan batu sungai.

“Sejurus kereta berjaya dibawa naik, kita hanya menemui salah seorang mangsa yang dipercayai penumpang kenderaan berkenaan.

“Mangsa adalah seorang lelaki berusia dalam lingkungan 37 tahun dan berasal dari Kampung Kionsom Lama manakala seorang lagi mangsa lelaki yang juga pemandu Myvi berumur 68 tahun masih hilang,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, Kenneth berkata operasi mencari seorang lagi mangsa masih diteruskan dengan mengerahkan tiga kumpulan untuk melaksanakan SAR.

Katanya, kumpulan pertama membuat pencarian bermula di kawasan kenderaan itu mula dijumpai iaitu sekitar kawasan Kampung Dambai sehinggalah lokasi kejadian di Kampung Kionsom Lama.

‘Manakala kumpulan kedua pula akan melakukan pencarian di dasar sungai kawasan Inanam Laut sehingga ke Kampung Dambai.

“Bagi kumpulan ketiga, mereka akan menggunakan bot aluminium untuk membuat pencarian menggunakan kaedah ‘surface searching’ bermula di kawasan sekitar lokasi ini hingga ke Yayasan Sabah,” katanya.

Dalam kejadian jam 6 petang semalam, kereta Perodua Myvi berkenaan dihanyutkan arus deras ketika cuba melalui jambatan konkrit di Jalan Kionsom Lama, di sini.

Detik cemas itu sempat dirakam pemandu yang berada di belakang kenderaan berkenaan sebelum ditularkan di media sosial.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|