Kota Kinabalu: Mangsa banjir dipindahkan di Beaufort kekal 78 orang, membabitkan 26 keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Datuk Mohd Dun Banir, setakat tengah hari tadi.
Kebanyakan mangsa adalah dari Membakut, manakala di Sipitang, 15 mangsa membabitkan empat keluarga turut dilaporkan masih berada di PPS Dewan Mini Mesapol.
Semalam, seramai 58 mangsa membabitkan 15 keluarga turut dipindahkan di PPS Komuniti Dewan Kampung Suasa, Beaufort kebanyakannya penduduk di kawasan sekitar.
Pagi tadi, tiga mangsa banjir di Penampang turut dipindahkan di Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang berikutan banjir di daerah itu malam tadi.
Sementara itu, situasi banjir di Beaufort dan Membakut dilaporkan masih belum pulih walaupun paras air Sungai Padas dan Sungai Membakut dilaporkan menunjukkan penurunan dan kini berada pada paras amaran.
Sebanyak 60 kampung di Beaufort dan daerah kecil Membakut terjejas akibat banjir yang bermula sejak kelmarin berikutan hujan lebat berterusan di sekitar pantai barat.
Laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) setakat tengah hari tadi menunjukkan kebanyakan lokasi banjir di Beaufort dan Membakut masih ditenggelami air.
Semalam, banjir kilat turut dilaporkan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan disebabkan hujan lebat tanpa henti pada sebelah petang.
-Deasoka