Kota Kinabalu: Sebuah stor penyimpanan ubat-ubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terjejas teruk dalam insiden tanah runtuh di Kampung Kopungit, Kota Kinabalu, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, bomba menerima maklumat mengenai insiden itu sekitar jam 11.19 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi untuk membuat pemeriksaan lanjut.
Difahamkan, kejadian terbabit turut memusnahkan tiga buah kenderaan dan sebuah motosikal yang dipercayai milik kakitangan jabatan tersebut, namun tiada sebarang kemalangan jiwa difahamkan berlaku.
“Tiada mangsa yang terlibat dilaporkan oleh dan tidak ada operasi yang dilakukan dengan bomba hanya memantau dan mengambil maklumat dilokasi kejadian.
“Kita turut memaklumkan kepada pihak berkaitan seperti polis untuk mengarahkan penduduk kampung mengosongkan rumah dikawasan sekitar tanah runtuh bagi tujuan keselamatan,”katanya.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah yang juga Exco Kesihatan negeri, Shahelmey Yahya turut berkesempatan mengadakan lawatan bagi membuat tinjauan rapat di lokasi kejadian.
-Deasoka