Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan beras negara termasuk di Sabah mencukupi menampung keperluan semasa penduduk walaupun berdepan pandemik Covid-19.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata bagi menjamin bekalan beras sentiasa mencukupi, simpanan stokpail beras negara akan ditingkatkan lagi secara berperingkat kepada 290,000 tan metrik menjelang 2023.
Katanya, penambahan keseluruhan stokpail beras negara sehingga tahun 2023 membabitkan kos RM230 juta akan ditanggung sepenuhnya oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) selaku syarikat pemegang konsesi.
Beliau berkata, menjelang akhir tahun ini saja jumlah pegangan stokpail beras negara akan ditingkatkan kepada 200,000 tan metrik daripada 150,000 tan metrik sekarang.
“Lawatan pemeriksaan berkala dibuat dari semasa ke semasa di semua lokasi penyimpanan stokpail beras negara yang meliputi zon Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi menilai tahap stokpail beras negara dalam menampung sebarang keperluan atau permintaan luar jangka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau stokpail beras negara bagi zon Sabah, di Telipok, dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Azman Mahmood.
Lawatan pemeriksaan berkenaan adalah selaras dengan terma perjanjian konsesi di antara kerajaan dengan BERNAS bagi memastikan stokpail negara sentiasa mencukupi dan berada dalam keadaan baik sepanjang masa.
Ronald berkata, ketika ini ada 31 gudang stokpail negara di seluruh negara yang dikendalikan BERNAS dan setakat ini syarikat itu memenuhi Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) obligasi sosail yang ditetapkan kerajaan.
Sementara itu, Ronald berkata ketika ini keperluan beras rakyat negara ini mencapai 2.5 juta tan metrik setahun, manakala pengeluaran beras negara ialah kira-kira 70 peratus daripada keperluan itu.
“Oleh itu negara masih mengimport 30 peratus daripada keperluan atau kira-kira 700,000 hingga 900,000 tan metrik beras setiap tahun bagi menampung kekurangan pengeluaran beras dalam negara selain memenuhi permintaan terhadap beras premium dan istimewa,” katanya.
Bagaimanapun, katanya di Sabah bekalan beras masih bergantung kepada import memandangkan pengeluaran tempatan di negeri ini hanya mencapai kira-kira 20 peratus.
Perkara itu turut diakui Jeffrey, namun katanya Sabah mampu meningkatkan pengeluaran padi tempatan berdasarkan keluasan tanah dan potensi yang belum dikembangkan sepenuhnya untuk industri padi dan beras di negeri ini.
“Ketika ini Sabah masih mengimport beras dari luar negara, selain bekalan dari Semenanjung tetapi kita mempunyai potensi yang besar untuk mengembangkan penanaman padi di negeri ini bagi menigkatkan pengeluaran sehingga mencapai tahap sara diri,” katanya.
-Deasoka