JKR, syarikat konsesi diarah baiki segera kerosakan jalan

JKR, syarikat konsesi diarah baiki segera kerosakan jalan

Kota Kinabalu: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi penyelenggaraan jalan raya sudah diarah mengambil tindakan segera melaksanakan kerja pembaikan jalan yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di beberapa daerah ekoran hujan lebat berterusan sejak kelmarin.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kebanyakan jalan berturap yang runtuh dalam kejadian terbabit adalah di bawah pemantauan syarikat konsesi yang dilantik oleh kerajaan.

“Pihak JKR sudah meminta syarikat konsesi yang terlibat untuk memantau dan membaiki mana-mana jalan raya di bawah konsesi mereka yang mengalami kerosakan, termasuk membuat jalan alternatif agar pengguna jalan raya tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata bagi kerosakan jalan raya akibat tanah mendap di Jalan Kota Kinabalu-Keningau yang dilaporkan semalam, laluan berkenaan juga sedang dibaiki.

Katanya, laluan berkenaan adalah jalan persekutuan yang diselenggarakan syarikat konsesi Lintasan Resources Sdn Bhd dan laluan alternatif sudah disediakan bagi mengelak pengguna daripada terkandas.

“Saya turut menerima aduan beberapa jalan raya di beberapa daerah yang mengalami kerosakan dan berlubang. Pihak JKR juga sudah meminta syarikat konsesi untuk melaksanakan kerja pembaikan segera.

“Mengenai jalan raya dinaiki banjir yang terlibat dengan pembinaan lebuh raya Pan Borneo, pihak kontrator sudah diarah agar memantau keadaan dan membersihkan parit sedia ada agar air tidak bertakung,” katanya.

Beliau berkata, bagi cerun dan jalan raya kendalian JKR yang dilaporkan runtuh, kerja pembersihan akan dipercepatkan, manakala kerja pembaikan cerun bergantung kepada kos pembinaan.

Dalam pada itu, Bung Moktar berkata, berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini beliau sudah meminta semua jurutera JKR di setiap daerah memantau situasi jalan berisiko runtuh bagi menjamin keselamatan pengguna.

“Kementerian sentiasa mengambil berat terhadap isu seperti ini dan kita akan mengambil tindakan susulan bagi setiap laporan yang dikemukakan,” katanya.

Bung Moktar turut mengingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati ketika memandu pada musim hujan dan banjir bagi mengelak kejadian yang tidak diingini seperti berlaku dalam kejadian kenderaan dihanyutkan arus deras di jambatan Jalan Kionsom Lama, Inanam, semalam.

“Jika banjir dan arus deras saya nasihatkan pemandu agar jangan memaksa diri untuk meredah keadaan itu yang sudah pasti membahayakan keselamatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|