Tampung pesakit Covid-19, pihak hospital bersedia tukar wad sedia ada: Shahelmey

Tampung pesakit Covid-19, pihak hospital bersedia tukar wad sedia ada: Shahelmey

Kota Kinabalu: Pihak hospital di negeri ini mempunyai perancangan bagi mengaktifkan wad tambahan dalam usaha menampung jumlah pesakit Covid-19 di Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, sekiranya ia mempunyai keperluan, wad sedia ada akan ditukarkan kepada wad pesakit Covid-19.

Beliau yang juga Exco Kesihatan negeri itu berkata, berdasarkan laporan diterima pihaknya, kadar penggunaan alat bantuan pernafasan setakat ini adalah kira-kira 70 peratus manakala penggunaan katil sudah mencapai tahap optimum.

“Pihak hospital mempunyai perancangan untuk menambah atau mengaktifkan,menukarkan wad-wad yang ada untuk digunakan bagi keperluan pesakit pesakit Covid sekiranya diperlukan.

“Jadi berdasarkan laporan yang mereka berikan dan kesediaan mereka untuk menukar wad-wad yang tertentu untuk menjadi (wad pesakit Covid).

“Kita rasa yakin bahawa mereka masih boleh ‘cope’ dengan keadaan yang ada sekarang ini,” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika melakukan lawatan ke kawasan runtuhan cerun berhampiran pusat rawatan penyakit tibi, Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) di Kota Kinabalu, hari ini.

Mengulas mengenai kejadian itu, beliau berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dengan insiden terbabit difahamkan terjadi kira-kira jam 7 malam Jumaat lalu.

“Pada pagi ini saya melawat Pusat Rawatan Tibi, Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk melihat keadaan cerun di kawasan ini yang telah runtuh pada petang semalam akibat hujan yang berterusan sejak dua hari lepas.

“Saya dimaklumkan tentang kejadian ini oleh Pengarah (HQE) pada lewat malam semalam dan itulah saya mengambil inisiatif untuk melihat sendiri meninjau keadaan cerun runtuh di kawasan ini,” katanya.

Untuk rekod, dua blok yang terletak di kawasan berhampiran tanah runtuh tersebut kini dikosongkan sementara kerja-kerja penyelenggaraan giat dijalankan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|