Miliki dadah, tiga ditahan

Miliki dadah, tiga ditahan

Labuan: Tiga lelaki yang didapati memiliki dadah ditahan dalam operasi yang dijalankan di kawasan Kampung Lajau, di sini, semalam.

Operasi jam 1.40 petang itu dijalankan berdasarkan maklumat risikan yang diterima Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Ahmad Jawila berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 27 hingga 38 tahun yang menaiki sebuah kereta ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan satu beg kecil yang disembunyikan di tempat duduk hadapan.

“Beg berkenaan didapati mengandungi tujuh paket plastik lutsinar berlainan saiz berisi ketulan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Dadah yang dirampas adalah seberat kira-kira 6.67 gram dan dianggarkan bernilai RM600 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ahmad berkata, semua suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke IPD Labuan bersama barang rampasan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati semua suspek positif dadah jenis Methaphetamine.

“Semua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu mengikut Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952.

“Malah salah seorang suspek juga pernah dipenjara selama enam tahun atas kesalahan melakukan rompakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ahmad berkata, semua suspek ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|