Pendekatan Keluarga Malaysia tepat pada masanya – Bung Moktar

Pendekatan Keluarga Malaysia tepat pada masanya – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan sebagai tepat pada masanya ketika negara berdepan dengan krisis politik, pandemik kesihatan dan situasi kemerosotan ekonomi.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pendekatan Keluarga Malaysia memang sejajar dengan tuntutan kebersamaan semua pihak dalam menghadapi situasi semasa negara.

Katanya, Keluarga Malaysia juga menuntut muafakat dan semangat solidariti semua pihak untuk saling berganding bahu menangani situasi mencabar yang dihadapi negara ketika ini.

“Dengan pengenalan dan pendekatan baharu Keluarga Malaysia memang penting untuk seluruh rakyat terus maju dan bergerak ke hadapan sebagai sebuah keluarga merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum demi membangun negara.

“Ikatan dan nilai kekeluargaan ini amat penting ketika kita berhadapan dengan suasana getir untuk menjayakan agenda utama pemulihan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya memperkenalkan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ bagi mengajak semua pihak termasuk Ahli Parlimen pembangkang untuk bersama-sama memulihkan ekonomi dan menangani penularan pandemik COVID-19 secara menyeluruh.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, berkata keterbukaan Perdana Menteri melalui tawaran kerjasama rentas parti dengan mempelawa pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 sewajarnya disambut secara terbuka.

Dalam pada itu, Bung Moktar berkata komitmen kerajaan Pusat pimpinan Ismail Sabri dalam menjaga kesihatan rakyat terbukti menerusi pembelian tambahan sejumlah 6 juta dos vaksin yang turut memberi manfaat kepada Sabah.

“Kita berterima kasih kerana kerajaan terus memperhebatkan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung di mana kita yakin melalui melalui program ini pandemik COVID-19 dapat dilandaikan dan ekonomi dapat dipulihkan segara,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar berkata kerajaan negeri akan terus mendokong kesungguhan Perdana Menteri dalam menjayakan agenda Keluarga Malaysia dalam menangani isu kesihatan dan ekonomi rakyat negeri ini yang terjejas dengan penularan pandemik COVID-19

“Seperti saya maklumkan sebelum ini kita akan pertahankan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selari dengan mandat yang diberikan oleh rakyat selepas pilihan raya tahun lalu bagi menjaga kestabilan politik, ekonomi dan kesihatan rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|